HAJI
Ibadah Haji mengikut kebiasaan sebutan orang adalah ‘haji besar’ dan ibadah Umrah pula disebut ‘haji kecil’. Musim Haji bermula daripada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah (hari raya puasa hingga hari raya haji), manakala Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk di luar musim haji. Dari segi syarak pula ianya adalah mengunjungi Baitullahil Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang tertentu di sana.
.
Menunaikan Haji
Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima
dan ia dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya
dari 9 hingga 13 Zulhijah. Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijah.
.
Firman Allah SWT: “Dan
Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan
mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai
ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka
sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari
sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, ayat 97)
.
Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan
dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental. Allah membuka
ruang dan memudahkan semua hamba-Nya menziarahi, mendekatkan diri dan
bermunajat kepada-Nya serta memohon limpah Rahmat-Nya dan Hidayah-Nya.
Ibadat haji adalah satu-satunya peluang keemasan untuk kita mengadap
Allah secara lebih dekat.
.
Firman Allah dalam surah al-Hajj: “Dan
serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang
kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang kurus,
mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan
berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah
pada beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.”
.
Pemergian ke kota Makkah atau Arafah bukan semata-mata perjalanan jasad, tetapi perjalanan ‘rabbani’
iaitu perjalanan berserta ketulusan hati dan rohani ke arah menemui
Allah SWT serta mengeratkan jalinan hubungan antara Allah sebagai Khalik
(Pencipta) yang menjadikan alam sebagai makhluk-Nya dan manusia sebagai
khalifah-Nya.
Firman Allah SWT.: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 196).
.
Haji dan Umrah, kedua-duanya hanya wajib sekali saja seumur hidup
dan sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Perbezaan jelas antara
kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan dalam bulan haji iaitu
mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.
.
Allah menyediakan ganjaran cukup besar bagi sesiapa yang mengerjakan umrah dan haji pada bulan ini. Rasulullah SAW bersabda: “Daripada
satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus semua kesalahan serta
dosa yang berlaku antara keduanya. Haji yang mabrur (yang dilakukan
dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada ganjarannya yang setimpal
melainkan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
.
.
Niat Haji dan Umrah
1. Niat mengerjakan Haji:نَوَيْتُ الْحَجَّ وَأَحْرَمْتُ بِهِ لِلَّهِ تَعَاَلَى
Daku mengerjakan Haji dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.
2. Niat mengerjakan Umrah:
نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَاَلَى
Daku mengerjakan Umrah dan berihram dengannya, kerana Allah Ta’ala.
3. Niat mengerjakan Haji dan Umrah serentak (Haji Qiran):
نَوَيْتُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِـهِمَا لِلَّهِ تَعَاَلَى
Daku mengerjakan Haji dan Umrah serta berihram dengan kedua-duanya, kerana Allah Ta’ala.
.
.
Masya Allah, inilah kuatnya panggilan untuk melakukan ibadah Haji. |
No comments:
Post a Comment