Tawaf Qudum
Mekah Kelebihan-kelebihan Mekah Mukarramah: Allah Tabaraka Wa Taala menamakannya Ummul Qura berpandukan firman Nya: ( لِتُنْذِرَ أُمَّ الْقُرَى وَمَنْ حَوْلَهَا)
Yang bermaksud: Supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummul Qura (Mekah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya. Ia juga dinamakan dengan al-Baladul Amin (negeri yang aman) di dalam firman Allah s.w.t:
وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ. وَطُورِ سِينِينَ. وَهَذَا الْبَلَدِ الْأَمِين)
Yang bermaksud: Demi buah tin dan zaitun dan bukit Tur Sina serta negeri (Mekah) yang aman ini. Juga firman Allah Taala:
( لَا أُقْسِمُ بِهَذَا الْبَلَدِ. وَأَنْتَ حِلٌّ بِهَذَا الْبَلَدِ)
Yang bermaksud: Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini; sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas).
Di antara namanya juga ialah Baitul Atiq dimana Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:
( وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ )
Yang bermaksud: Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.
Firman Nya juga:
( جَعَلَ اللَّهُ الْكَعْبَةَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ قِيَامًا لِلنَّاسِ )
Yang bermaksud: Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal kehidupan).
Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s telah berdoa untuknya (Kaabah) dengan ucapannya:
( وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ ءَامِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَنْ نَعْبُدَ الْأَصْنَامَ )
Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata:/50 Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Mekah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا ءَامِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ)
Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (a.s.) berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia),
kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.
Allah Taala berfirman:
( وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى، وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ )
Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjidil Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk serta sujud".
Allah berfirman melalui kata-kata Nabi Ibrahim a.s:
( رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ )
Yang bermaksud: (Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya).
Ketika kaum Quraisy mengusir Rasulullah s.a.w, baginda telah berdiri di atas sebuah bukit sambil memandang ke arah Kota Mekah serta perkampungan-perkampungannya lalu berkata: Sesungguhnya aku mengetahui bahawa engkau adalah negeri yang aku amat kasihi dan engkau juga adalah tanah yang Allah amat kasihi. Sekiranya bukan kerana orang-orang musyrikin mengusir aku darimu tentu aku tidak akan keluar.
Terdapat riwayat di dalam dua kitab sahih: Bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan negeri ini (Kota Mekah) sewaktu Dia menciptakan langit dan bumi, Allah mengharamkannya berterusan hingga ke hari Kiamat. Rasulullah s.a.w juga telah berdiri di Jamrah Aqabah pada tahun pembukaan Kota Mekah lalu bersabda: Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik bumi Allah dan engkau juga adalah bumi Allah yang paling aku kasihi, sekiranya aku tidak diusir tentu aku tidak keluar, sesungguhnya dalam Kota Mekah tidak dihalalkan kepada sesiapapun sebelum aku, juga tidak dihalalkan kepada sesiapa selepasku dan aku sendiri hanya dihalalkan seketika sahaja pada waktu siang hari, kemudian ia diharamkan, pokok yang ada padanya tidak boleh ditebang atau mencabut tumbuhan kecil, barang yang hilang atau binatang yang sesat tidak boleh diambil kecuali orang yang ingin mengumumkannya. Mekah adalah merupakan Tanah Haram Allah dan Tanah Haram Rasulullah s.a.w di mana di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim.
No comments:
Post a Comment