Khamis 8-12-10 H 5-3-632 M
1. Sehari sebelum tiba hari Tarwiah (hari kelapan Zulhijah), Nabi Muhammad s.a.w. telah berkhutbah di Mekah selepas masuk waktu Zuhur.
2. Pada pagi hari Khamis, Nabi Muhammad s.a.w. beredar ke Mina dengan diiringi oleh umat Islam. Para sahabat yang telah bertahallul selepas mengerjakan Umrah, mula berihram kembali untuk mengerjakan ibadat Haji. Namun begitu bukanlah bererti mereka berihram di dalam Masjidil Haram tetapi sebenarnya mereka berihram di luar Kota Mekah.
3. Sebaik sahaja tiba di Mina, mereka berhenti untuk sembahyang Zuhur dan Asar. Mereka bermalam di sana pada malam Jumaat. Setelah sembahyang Subuh, mereka menunggu seketika sehingga terbit matahari kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan lagi perjalanan dari Mina ke Arafah. Ketika unta tunggangan Nabi Muhammad s.a.w. yang beralaskan kain baldu bangkit bersedia untuk bertolak Nabi Muhammad s.a.w. menyebut kata-kata yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, jadikanlah ia Haji yang diterima, tiada padanya perasaan untuk menunjuk-nunjuk dan untuk membangga diri."
4. Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan jalan yang belum pernah dilalui oleh orang ramai dan kini ia terletak di sebelah kanan jalan menuju ke Mina Sebahagian dari para sahabat bertalbiah dan sebahagian yang lain bertakbir. Nabi s.a.w mendengar perkara tersebut tetapi baginda tidak mengingkari mereka.
Arafah - Khutbah Arafah:
Jumaat 9-12-10 H 6-3-632 M
1. Pada zaman jahiliah, kaum Quraisy berhenti wuquf di Masy'arilharam. Ketika Rasulullah s.a.w bertolak dari Mina menuju ke Namirah, Rasulullah s.a.w mendapati khemah telah siap didirikan sebagaimana yang Rasulullah s.a.w perintahkannya lalu berhenti di situ. Apabila matahari terbenam,Rasulullah s.a.w meminta para sahabat supaya mengambil unta yang bernama Al-Qaswa' lalu meneruskan perjalanan sehinggalah sampai di lembah wadi tanah Arafah. Rasulullah s.a.w berdiri di atas tanah tinggi Arafah lalu bersabda yang
bermaksud: "Setiap kawasan Arafah adalah tempat wuquf kecuali Wadi Uranah."
2. Rasulullah s.a.w telah meminta seorang lelaki bersuara nyaring yang bergelar Rabiah bin Umayyah bin Khalaf al-Jamhi supaya mengulang-ulang apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w agar orang ramai dapat mendengarnya. Ketika itu Rabiah berdiri di bawah leher unta Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: (Laungkan kepada orang ramai) dan katakan yang bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: "Adakah kamu mengetahui bulan apakah sekarang ini? Begitulah seterusnya
sehingga berakhir khutbah Rasulullah s.a.w".
3. Sebelum sembahyang Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada orang ramai sambil berada di atas tungganganya dengan bersabda selepas mengucap puji-pujian kepada Allah s.w.t.: "Wahai manusia! Sesungguhnya darah dan harta kamu diharamkan kepada kamu sebagaimana diharamkannya pada hari ini, bulan ini dan tempat ini. Sesungguhnya kamu akan bertemu Tuhan kamu untuk dipersoalkan mengenai amalan-amalan kamu.
Sesungguhnya aku telah menyampaikan.
4. Sesiapa yang diserahkan kepadanya amanah, hendaklah ditunaikan amanah tersebut. Bukankah semua perkara tersebut amalan jahiliah yang dilakukannya di sini begitu juga dengan korban jahiliah turut dilakukan di sini. Sesungguhnya Dam pertama yang berlaku ialah Dam Rabiah (dalam riwayat lain: Dam Ibnu Rabiah) bin Al-Haris bin Abdul Muttalib, ketika itu beliau sedang disusukan di perkampungan Bani Saad, lalu dibunuh oleh Huzail. Setiap riba adalah ditolak dan bagi kamu modal harta kamu. Oleh itu janganlah kamu zalim
menzalimi antara satu sama lain kerana Allah s.w.t. telah memutus bahawa tidak ada riba. Sesungguhnya riba yang pertama ialah riba yang dilakukan oleh al-Abbas bin Abdul Muttalib,kesemuanya itu ditolak.
5. Wahai manusia! Sesungguhnya Syaitan telah putus asa untuk beribadat di atas muka bumi ini buat selama-lamanya, tetapi apa yang dia inginkan ialah keburukan-keburukan daripada amalan kamu. Oleh itu awasilah dia dari agamamu.
6. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambahkan kekufuran yang menyebabkan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada satu tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangannya. Mereka merendahkanrendahkan apa yang diharamkan oleh Allah. Oleh sebab itulah mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya masa telah beredar seperti keadaan hari, kejadian langit dan bumi, setahun adalah dua belas bulan. Mengikut riwayat yang lain: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah s.w.t.adalah sebanyak dua belas bulan. Dari bulan-bulan tersebut ada empat bulan haram, tiga daripadanya berturut-turut iaitu: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam, seterusnya bulan Rejab yang berada di antara bulan Jamadil Akhir dan Syaaban".
7. Wahai manusia! Bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t. dan berpesanlah kepada perempuan-perempuan dengan kebaikan, sesungguhnya mereka di sisi kamu merupakan penolong, mereka tidak mempunyai sesuatu untuk diri mereka. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah s.w.t.dan kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah s.w.t.. (Mengikut riwayat yang lain: Dengan kitab Allah s.w.t.). Mereka mempunyai kewajipan ke atas kamu dan kamu juga mempunyai kewajipan ke atas mereka. Kewajipan mereka ke atas kamu ialah tidak membiarkan seseorang yang kamu benci mengambil tempat kamu, kewajipan kamu juga tidak melakukan perkara-perkara yang keji secara nyata dan sekiranya mereka melakukan perkara tersebut sesungguhnya Allah s.w.t. memberi keizinan kepada kamu untuk meninggalkan mereka dari tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Sekiranya mereka berhenti dari melakukan perkara tersebut, kamu wajib memberikan kepada mereka nafkah dan pakaian
dengan cara yang baik.8. Amatilah wahai manusia kata-kataku ini, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Aku telah tinggalkan kepada kamu suatu perkara yang tidak akan menyesatkan kamu selepas daripadaku buat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, (mengikut riwayat yang lain: Dua perkara yang jelas) iaitu Kitab Allah s.w.t. dan Sunah NabiNya.
9. Wahai manusia! Dengarlah kataku ini dan amatilah, kamu ketahui bahawa setiap orang Islam merupakan saudara kepada orang Islam yang lain dan sesungguhnya setiap orang Islam itu bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seseorang terhadap saudaranya kecuali apa yang diberinya dengan baik. Janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri. (Ketahuilah bahawa hati tidak boleh belot di atas tiga perkara: Ikhlas beramal kerana Allah s.w.t, menasihati para pimpinan dan tetap bersama dengan jemaah Islam. Sesungguhnya doa mereka sentiasa
mengiringi mereka.). Baginda s.a.w. menambah: (Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai matlamatnya
nescaya Allah s.w.t. akan menjadikan kefakiran di hadapan kedua matanya serta Allah s.w.t melerai-leraikan ke atasnya hasil usahanya dan tidak akan berlaku sesuatu kecuali apa yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. baginya. Sesiapa yang berniat untuk akhirat, Allah s.w.t akan mengurniakan kekayaan di dalam hatinya dan akan memadai apa yang ada pada dirinya malah kekayaan dunia ini adalah merupakan suatu perkara yang hina baginya).
Baginda s.a.w. menambah lagi: "Sesungguhnya Allah s.w.t merahmati sesiapa yang mendengar perutusanku ini dan mengambil berat tentangnya sehinggalah disampaikan kepada orang lain." Berapa ramai pendokong ilmu fekah tetapi tidak dikira sebagai ahli fekah malah begitu ramai ahli fekah yang mengajar kepada orang yang lebih alim daripadanya.
10. Orang yang paling tinggi dari kalangan kamu ialah orang yang memberi makan kepada mereka sebagaimana kamu makan dan memberikan pakaian kepada mereka sebagaimana kamu pakai. Sekiranya mereka datang kepada kamu dalam keadaan berdosa maka janganlah kamu menghalaunya sebaliknya ampunilah dia dan bersumpah setialah kamu wahai hamba Allah serta janganlah kamu menzalimi mereka.
11. Aku mewasiatkan kepada kamu tentang jiran tetangga ... sehingga lebih dari itu, lalu kami katakan sesungguhnya dia akan mewarisi pusaka.
12. Wahai manusia! Sesungguhnya Allah s.w.t telah menunaikan segala hak-hakNya. Dari itu kamu tidak harus mewasiatkan harta kepada waris, anak adalah dari perkahwinan yang sah dan penzina hendaklah direjam dengan batu. Sesiapa yang mendakwa orang lain sebagai ayahnya atau tunduk kepada bukan tuannya nescaya Allah s.w.t, para malaikat dan seluruh umat manusia akan melaknatnya. Allah s.w.t tidak akan menerima segala urusan dan keadilan daripadanya. Barang pinjaman mestilah dihantar pulang, pemberian pasti akan dibalas, hutang mestilah dibayar dan orang yang menjamin seseorang hendaklah menunaikan jaminannya
13. Sesungguhnya orang kafir penyembah berhala berkumpul di sini ketika matahari terbenam sehingga matahari naik (berada di puncak bukit) seperti serban seorang lelaki yang dipakai di kepalanya. Ajaran kami berbeza dengan ajaran mereka, mereka bertolak dari Masy'arilharam ketika matahari naik lalu mereka menyebut: Telah bersinar bukit Thubair (sebuah bukit yang terletak di Mekah) supaya kita dapat bergerak. Allah s.w.t telah memulakan perkara ini dan melewatkan perkara yang lain iaitu mendahulukan Muzdalifah
sebelum matahari naik dan melewatkan Arafah sehingga matahari terbenam sedangkan kita berkumpul di Muzdalifah sehingga matahari naik. Syariat kami bercanggah dengan ajaran penyembah berhala dan orang-orang kafir.
14. Kamu akan ditanya mengenaiku, apakah yang akan kamu jawab? Mereka menjawab: "Kami bersaksi bahawa kamu telah menyampaikan, telah menunaikan amanah dan telah menasihatkan kami." Kemudian Nabi Muhammad s.a.w bersabda sambil tangannya di angkat ke langit membalas kata-kata orang ramai yang bermaksud: "Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah" - Setelah Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah Arafah, Bilal terus azan untuk sembahyang kemudian iqamat lalu Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang Zuhur dua rakaat, seterusnya diiqamatkan lalu terus mendirikan sembahyang Asar dua rakaat, tanpa menyelangi di antara keduanya dengan sembahyang lain malah Rasulullah s.a.w membaca ayat-ayat al-Quran dengan suara perlahan..
- Seterusnya Rasulullah s.a.w menunggang untanya sehingga sampai ke tempat wuquf kemudian memberhentikan unta tunggangan Rasulullah s.a.w yang bernama al-Qaswa' di hadapan bukit al-Masyat secara menghadap ke arah kiblat.
No comments:
Post a Comment