Ahad 4-12-10 H 1-3-632 M
1. Rasulullah s.a.w telah diberitahu bahawa satu kaum berkata: "Kami telah sampai untuk menunaikan ibadat Haji tanpa diiringi dengan perkara lain. Apabila kami tiba, kami telah diperintahkan untuk mengerjakan ibadat Umrah, lalu kami bertahallul untuk menggauli isteri isteri kami. Salah seorang dari kalangan kami pergi ke Mina dalam keadaan berjunub."
2. Setelah Rasulullah s.a.w mendengar berita tersebut dan selesai bersaie, Baginda s.a.w. terus bangun menyampaikan khutbah kepada manusia dengan bersabda: "Aku telah diberitahu bahawa satu kaum berkata begitu dan begini. Demi Allah! Sesungguhnya akulah orang yang lebih baik dan lebih bertaqwa daripada mereka, sekiranya aku tidak terlanjur (mengikut riwayat yang lain, wahai manusia! Sekiranya aku tidak terlanjur) membawa binatang Dam, tentu tidak terjadi begini dan sekiranya aku tahu bahawa urusanku akan terjadi begini tentu aku tidak membawa binatang Dam untuk di sembelih kerana aku akan menjadikannya
Umrah. Oleh itu sesiapa yang tidak mempunyai binatang Dam, hendaklah dia bertahallul dan menjadikannya ibadat Umrah". Setelah itu seluruh manusia bertahallul.
3. Lalu Suraqah bin Malik bin Ja'tham yang berada di bawah Wadi berkata: "Wahai Rasulullah! Adakah Haji diwajibkan pada tahun ini sahaja atau untuk selama-lamanya? Nabi Muhammad s.a.w bersabda sambil merapatkan kedua tangannya: "Untuk selama-lamanya, untuk selama-lamanya, untuk selama-lamanya." Kemudian Baginda s.a.w. bersabda: "Ibadat Umrah telah dimasukkan ke dalam ibadat Haji sehingga Hari Kiamat."
4. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: "Kami tiba bersama Rasululluh s.a.w pada hari keempat bulan Zulhijah dalam keadaan berihram untuk mengerjakan ibadat Haji lalu kami diperintahkan untuk menjadikannya Umrah. Perintah tersebut begitu susah dan berat untuk kami menerimanya sehingga perkara tersebut sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad s.a.w. Lalu Nabi Muhammad s.a.w.bersabda: "Wahai manusia! Kamu semua bertahallullah. Sekiranya tidak kerana binatang Dam yang ada bersamaku nescaya aku juga akan lakukan sebagaimana yang kamu lakukan". Mendengar sabda Nabi Muhammad s.a.w., kami terus bertahallul sehingga kami dapat menggauli isteri-isteri kami sebagaimana biasa." 5. Apabila tiba hari Tarwiah (hari kelapan Zulhijah), kami keluar dari Mekah dan terus berniat Ihram Haji.
No comments:
Post a Comment