Wednesday, July 13, 2011

Wukuf Di Arafah

Arafah - Wuquf Di Arafah:
Jumaat 9-12-10 H 6-3-632 M


Suasana dalam Khemah. Semasa Wukuf di Arafah..masa untuk memohon keampunan kepada Allah Azza Wajalla. Berzikir dan berdoa sebanyak mungkin.(gambar hiasan)

Semasa Wukuf di Arafah, makan tengah hari. Meminta banyak kesabaran serta penuh tawaduk sambil memohon Rahmat dan Rahman Allah SWT.(gambar hiasan)


1. Rasulullah s.a.w terus berwuquf sehingga matahari tenggelam dan ufuk kuning hilang sedikit serta bentuk matahari tidak lagi kelihatan.
2. Ketika sedang berwuquf itulah Allah s.w.t telah menurunkan kepada Rasulullah s.a.w firmanNya: Yang bermaksud: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, Aku sempurnakan ke atas kamu nikmatKu dan Aku telah redha Islam sebagai ugama bagi kamu."
3. Para sahabat meragui tentang puasa Rasulullah s.a.w lalu mereka mengutuskan Ummu al-Fadhli dan Maimunah r.a membawa susu kepadaRasulullah s.a.w. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w sedang berada di tempat wuquf. Rasulullah s.a.w meminum susu tersebut sambil diperhatikan oleh para sahabat yang ada di sekitar Rasulullah s.a.w. Melihat keadaan tersebut maka terbuktilah kepada mereka bahawa orang yang wuquf di Arafah tidak boleh berpuasa.
4. Rasulullah s.a.w mendapati ramai para sahabat berada jauh dari kawasan wuquf lalu Rasulullah s.a.w mengutuskan Zaid bin Murabba' al-Ansari supaya berjumpa mereka. Sebaik sahaja sampai, Zaid berkata kepada mereka: "Sesungguhnya aku adalah utusan Rasulullah s.a.w, Rasulullah s.a.w bersabda kepada kamu yang bermaksud: "Kamu hendaklah berada di kawasan Masy'ar kerana kamu mewarisi peninggalan ayah kamu Nabi Ibrahim."
5. Seorang sahabat yang berasal dari Najd telah bertanya Rasulullah s.a.w ketika sedang wuquf di padang Arafah tentang mengerjakan ibadat Haji. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab yang bermaksud: "Haji adalah wuquf di Arafah, sesiapa yang sempat sampai pada malam Arafah sebelum naik fajar pada malam berkumpul, maka sempurnalah Hajinya."
6. Ketika seorang lelaki wuquf bersama Rasulullah s.a.w di Arafah, tiba-tiba dia terjatuh dari tunggangannya dan terus mati. Lalu Rasulullah s.a.wmemerintahkan supaya lelaki tersebut dikafani dengan pakaiannya, tidak disapu dengan wangi-wangian, dimandikan dengan air dan daun bidara serta tidak ditutup kepala dan mukanya kerana Allah s.w.t. akan membangkitkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan sedang bertalbiah.
7. Di antara doa yang banyak dibaca oleh Rasulullah s.a.w pada Hari Arafah ialah: Yang bermaksud: "Tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya melainkan Allah. Tiada sekutu bagiNya, Dialah yang memiliki kekuasaan, Dialah yang memiliki kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap perkara".
8. Sabda Rasulullah s.a.w:
Sebaik-baik perkataan yang disebut oleh aku dan para Nabi sebelumku pada petang hari Arafah ialah: Yang bermaksud: "Tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya melainkan Allah. Tiada sekutu bagiNya, Dialah yang memiliki kekuasaan, Dialah yang memiliki kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap perkara."
9. Pada Hari Arafah Az-Zubair bin Al-Awwam telah mendengar Rasulullah s.a.w membaca ayat: Yang bermaksud: "Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga
yang demikian): Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."
10. Doa Nabi Muhammad s.a.w yang dihafal oleh orang ramai pada hari Arafah ialah: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, bagiMu segala puji-pujian sebagaimana yang kupuji dan segala kebaikan yang kukatakan. Wahai Tuhanku, kepadaMu sembahyangku, segala ibadatku, kehidupanku, matiku, kepadaMu tempat kukembali dan bagiMu segala peninggalanku. Wahai Tuhanku, aku memohon pelindung kepadaMu daripada azab kubur, dari penyakit hati yang waswas dan dari urusan yang tidak tersusun. Wahai Tuhanku, aku berlindung denganMu dari keburukan yang datang dengan angin, dari keburukan yang berlaku pada malam dan siang juga dari keburukan bala bencana sehari-harian."
11. Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau mendengar kata-kataku dan melihat tempatku, mengetahui setiap yang aku rahsiakan dan yang aku zahirkan, tidak boleh disembunyikan sesuatupun dari pengetahuanMu. Aku hamba yang kerdil lagi fakir, memohon pertolongan dan balasan. Aku hamba yang takut dan meminta belas kasihan serta mengaku terhadap segala kesalahan, aku meminta daripadaMu sebagai
permintaan orang yang berhajat dan mengadu kepadaMu sebagai aduan orang yang bersalah dan hina diri. Aku berdoa kepadaMu sebagai doa orang yang amat takut lagi tenat, orang yang menundukkan kepala serta seluruh anggota tubuh badan hanya kepadaMu."
12. Yang bermaksud: "Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah. Tiada sekutu bagiNya, Dialah Yang Memiliki Kerajaan dan Dialah Yang Memiliki Kepujian, di sisiNya segala kebaikan dan Dialah Yang Maha Berkuasa ke atas setiap perkara. Wahai Tuhanku, sinarkanlah hatiku, dadaku, pendengaranku dan penglihatanku dengan cahayaMu. Wahai Tuhanku, lapangkanlah jiwaku, permudahkanlah urusanku. Aku berlindung denganMu dari segala waswas hati, dari urusan yang tidak teratur dan dari fitnah kubur. Wahai Tuhanku, aku berlindung denganMu dari segala keburukan yang berlaku pada malam dan siang, dari keburukan yang didatangkan oleh angin dan dari segala bencana."
13. Nabi Muhammad s.a.w telah berkhutbah pada hari Arafah dengan sabdanya yang bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah s.w.tbersedia mengampun segala dosa-dosa kamu pada hari ini (Arafah) kecuali kesalahan yang bersangkutan dengan orang lain di kalangan kamu. Allah s.w.t telah membalas keburukan kamu dengan kebaikan, memberi apa sahaja yang dipohon oleh orang yang melakukan kebaikan."
Oleh itu pohonlah dengan nama Allah: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikan doaku ini sia-sia, kasihani dan sayangilah aku wahai Tuhan yang sebaik-baik tempat untuk memohon dan sebaik-baik Pemberi."

No comments: