Mina - Melontar Jamrah:
Ahad 11-12-10 H 8-3-632 M
1. Rasulullah s.a.w awal-awal lagi berada di Mina menunggu matahari gelincir. Apabila matahari telah gelincir, Rasulullah s.a.w berjalan kaki membawa tunggangan Rasulullah s.a.w ke setiap Jamrah tanpa menaikinya.
2. Rasulullah s.a.w memulakan lontaran di Jamrah al-Ula yang terletak selepas Masjid Khaif dengan tujuh biji batu, satu demi satu. Rasulullah s.a.w mengucapkan "Allah hu akbar" bersama setiap lontaran. Kemudian Rasulullah s.a.w mara ke hadapan sehingga tiba di lembah yang lebih rendah,Rasulullah s.a.w berdiri dengan menghadap ke arah kiblat. Seterusnya Rasulullah s.a.w mengangkat tangan lalu berdoa dengan doa yang
panjang. Panjangnya umpama kadar bacaan surah al-Baqarah.
3. Kemudian Rasulullah s.a.w menuju ke Jamrah al-Wusta dan melontar sebagaimana sebelumnya. Setelah selesai Rasulullah s.a.w membelok ke sebelah kiri iaitu ke kawasan selepas al-Wada' lalu berhenti dengan menghadap ke arah Kiblat dan berdoa hampir sama panjang dengan doa.
4. Seterusnya Rasulullah s.a.w menuju ke Jamrah Aqabah lalu turun ke lembah dengan menghadap ke arah Jamrah dimana Baitullah berada di sebelah kiri Rasulullah s.a.w dan Mina di sebelah kanan Rasulullah s.a.w . Rasulullah s.a.w melontar sebanyak tujuh lontaran sebagaimana tadi.
5. Kebiasaannya Rasulullah s.a.w melontar sebelum sembahyang Zuhur, selepas daripada gelincir matahari, kemudian barulah Rasulullah s.a.w pulang menunaikan sembahyang (Zuhur).
Keterangan:
1. Rasulullah s.a.w telah melontar pada setiap Jamrah: Sughra, Wusta dan Aqabah.
2. Diriwayatkan bahawa surah an-Nasr telah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w pada hari tersebut dan Rasulullah s.a.w tahu bahawa ia merupakan Wida' (selamat tinggal). Lalu Rasulullah s.a.w meminta sahabat supaya mengambil unta tunggangannya yang bernama al-Qaswa'. Setelah unta diambil, baginda terus beredar sehinggalah sampai di Jamrah Aqabah lalu orang ramai berkumpul mengelilingi Rasulullah s.a.w .Rasulullah s.a.w memuji Allah s.w.t dan mensyukuri apa yang telah dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: "Wahai manusia! Bukankah Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Bukankah ayah kamu adalah satu. Bukankah tiada perbezaan di antara bangsa Arab dengan orang Ajam (asing) dan tiada
perbezaan di antara orang Ajam (asing) dengan orang Arab, juga tiada perbezaan di antara yang berkulit hitam dari yang berkulit merah dan yang berkulit merah dengan yang berkulit hitam melainkan dengan
taqwa."Sesungguhnya golongan yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang paling bertaqwa. Bukankah aku telah sampaikan kepada kamu?. Mereka semua menjawab: "Bahkan Rasulullah s.a.w telah
menyampaikan." Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Hendaklah orang yang hadir memberitahu kepada orang yang tidak hadir dan berapa ramai orang yang menyampaikan lebih mengambil berat daripada pendengar."
3. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai Manusia!" Lalu Rasulullah s.a.w membaca ayat al-Quran: Yang bermaksud: (Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (bulan Haram iaitu Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah) itu adalah menambahkan kekufuran. Disesatkan orang-orang yang kafir dengan perbuatan mengundur-undurkan itu. Mereka menghalalkannya setahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain agar mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan yang Allah s.w.t. haramkannya lalu mereka menghalalkan
apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t.). Bukankah masa telah beredar seperti keadaan hari Allah s.w.t. menjadikan langit dan bumi. Seterusnya baginda membaca firman Allah s.w.t.: Yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Haram. Itulah ketetapan ugama yang lurus. Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam empat bulan tersebut. Tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijah, Muharam serta Rejab yang dikenali dengan bulan mudharat iaitu bulan yang di antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban. Bagi setiap bulan ada dua puluh sembilan atau tiga puluh hari. Tidakkah aku telah sampaikan? Orang ramai menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w bersabda: "Saksikanlah wahai Tuhanku."
4. Amru bin Yathribi bertanya: "Wahai Rasulullah! Apa pandangan kamu sekiranya aku berjumpa kambing-kambing sepupuku lalu aku ambil salah seekor darinya lalu memanfaatkannya." Rasulullah s.a.w bersabda: "Sekiranya kamu berjumpa binatang tersebut bersama dengan pisau menyembelih dan kayu untuk memasak di suatu kawasan padang pasir (kawasan yang sunyi), janganlah kamu mengusiknya."
5. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Wahai manusia! Sesungguhnya kamu mempunyai hak kewajipan terhadap perempuan-perempuan kamu dan mereka pula berkewajipan untuk menjaga diri masing-masing daripada disetubuhi oleh orang lain dan tidak membenarkan seseorang yang kamu benci memasuki rumah kamu melainkan dengan izin kamu. Sekiranya mereka (isteri) melakukan perkara tersebut, Allah s.w.tmemberi keizinan kepada kamu untuk memisahkan mereka dari tempat tidur dan memukul mereka dengan pukulan yang tidak melukakan. Sekiranya mereka berhenti daripada melakukan perkara tersebut serta taat kepada kamu, kamu wajib memberi nafkah dan pakaian dengan cara baik. Sesungguhnya perempuan-perempuan yang ada di sisi kamu merupakan golongan yang lemah, tidak memiliki sesuatupun untuk diri mereka.
Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah s.w.t. dan menghalalkan hubungan (suami isteri) dengan kalimah Allah s.w.t.. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t. terhadap perempuan-perempuan dan berpesanlah kepada mereka dengan kebaikan. Bukankah aku telah sampaikan kepada kamu? Orang ramai menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w bersabda:"Saksikanlah wahai Tuhanku"
6. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai manusia! Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk menggoda kamu di tempat kamu ini tetapi dia telah redha kerana kamu mengikutnya dengan melakukan dosa yang keji. "Sesungguhnya setiap orang Islam merupakan saudara kepada orang Islam yang lain. Setiap orang Islam adalah bersaudara dan tidak dihalalkan (diharam) kepada mereka menumpahkan darah serta mengambil harta saudaranya kecuali dengan keizinan. Sesungguhnya aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t.. Apabila mereka mengucapkannya, darah dan harta mereka akan terselamat daripadaku kecuali dengan hak. Balasannya hanya terpulang kepada Allah. Oleh yang demikian janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri. Jangan kamu kembali kepada kekufuran selepas kematianku dengan menzalimi antara satu sama lain. Sesungguhnya aku telah tinggalkan sesuatu yang tidak akan menyesatkan kamu selama-lamanya jika kamu berpandukannya iaitu: Kitab Allah s.w.t. Bukankah aku telah sampaikan kepada kamu? Orang ramai
menjawab: "Ya." Baginda s.a.wbersabda: "Saksikanlah wahai Tuhanku."
1. Baginda s.a.w tidak segera menyempurnakan lontaran dalam masa dua hari sebaliknya Baginda s.a.w melewatkannya sehingga berjaya menyempurnakan lontaran pada ketiga-tiga hari Tasyrik. Selepas sembahyang Zuhur pada hari Selasa, Baginda s.a.w bertolak ke Muhassab iaitu Abtah yang dikenali juga
dengan Khaif Bani Kinanah.
2. Baginda s.a.w telah mendapati Abu Rafi' telah membina sebuah khemah di sana (dengan taufik daripada Allah s.w.t.) tanpa diperintah olehRasulullah s.a.w untuk membinanya. Rasulullah s.a.w sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak seterusnya Baginda s.a.w tidur seketika.
3. Kemudian Rasulullah s.a.w menuju ke Mekah.
4. Saidatina Aisyah r.a berkata: "Wahai Rasulullah! Orang ramai akan pulang dari mengerjakan Haji dan Umrah sedangkan aku akan pulang hanya dengan mengerjakan Haji." Rasulullah s.a.w bersabda: "Adakah kamu telah Tawaf pada malam kita sampai di Mekah?" Beliau menjawab:"Tidak." Baginda s.a.w. memanggil Abdul Rahman bin Abu Bakar lalu bersabda: "Keluarlah dengan kakak kamu dari Tanah Haram (ke
Tan'im)." Baginda s.a.w. juga bersabda kepada Saidatina Aisyah r.a: "Pergilah bersama saudara kamu ke Tan'im dan niatlah Umrah, kemudian ingatlah tempat untuk bertemu. Selepas itu kamu berdua datanglah ke
Muhassab. Saidatina Aisyah r.a berkata lagi: "Lalu dengan izin Allah s.a.w. aku dapat menunaikan Umrah. Kami selesai mengerjakan Tawaf pada pertengahan malam lalu terus menemui Baginda s.a.w. di Muhassab. Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Adakah kamu telah selesai?" Kami menjawab:
"Ya." Lalu Baginda s.a.w. mengizinkan orang ramai bertolak.
No comments:
Post a Comment