Wednesday, July 13, 2011

Korban - Jamratul Aqobah

Haji Wida' > Mina (Korban)
Mina (Korban) - Bertolak Ke Mina:
Sabtu 10-12-10 H 7-3-632 M
1. Setelah menyingsing fajar Hari Raya Korban iaitu Hari Raya Haji Akbar serta hari yang diserukan dengan penyucian Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w dari segala bentuk kesyirikan, Rasulullah s.a.w terus mendirikan sembahyang subuh kemudian menunggang unta baginda yang bernama al-Qaswa' menuju ke Masy'aril
Haram kemudian berhenti di Quzah. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Seluruh kawasan Muzdalifah adalah tempat wuquf kecuali kawasan Wadi Muhassir" SeterusnyaRasulullah s.a.w menghadap ke arah kiblat dan berdoa dengan penuh rasa rendah diri, bertahlil, bertakbir (membesarkan Allah s.w.t.)
serta berzikir (mengingati Allah s.w.t.). Rasulullah s.a.w terus berada (berwuquf) di sana sehingga cahaya fajar hilang dan ketika itu matahari masih belum lagi terbit.
2. Semasa berada di sana, baginda ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Urwah bin Madras bin At-Taie dengan berkata: "Wahai Rasulullah! Aku tiba dari bukit Tai' dengan memecut unta tungganganku sehingga unta dan diriku terasa letih. Demi Allah, aku tidak meninggalkan suatu bukit pun kecuali setelah aku berhenti (Wuquf) di situ. Adakah ibadat Hajiku dikira sah?." Rasulullah s.a.w menjawab dengan sabdanya: "Sesiapa yang menyaksikan sembahyang kami ini lalu berhenti (Wuquf) bersama-sama kami sehinggalah kami bertolak dan dia juga telah Wuquf di Arafah sebelum itu samada pada waktu malam atau siang, bermakna dia telah menyempurnakan Hajinya serta telah menunaikan ibadatnya (sah Hajinya) "
3. Setelah kesemua jemaah Haji tiba di Jam'in, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengampun dosa-dosa golongan yang baik dari kalangan kamu, memberi syafaat kepada golongan baik dan juga golongan yang jahat di kalangan kamu kerana rahmat diturunkan secara umum tanpa membezakan antara satu sama lain. Rahmat tersebut diturunkan sehingga melimpahi bumi lalu terkena kepada orang-orang bertaubat yang menjaga lidah dan tangan masing-masing. Dalam masa yang sama iblis serta tentera-tenteranya berada di atas bukit Arafah memerhatikan apa yang akan dilakukan oleh Allah s.w.t terhadap umat manusia. Sebaik sahaja rahmat diturunkan, iblis dan tenteratenteranya akan mendoakan kepada umat manusia dengan kecelakaan dan kebinasaan. Iblis berkata: "Sesungguhnya aku telah menipu mereka sekian lama supaya takut kepada keampunanAllah (s.w.t.). Lalu iblis beredar dari bukit Arafah dan terus berkeliaran sambil mendoakan mereka dengan kecelakaan serta kebinasaan.
4. Kemudian Rasulullah s.a.w meneruskan lagi perjalanan di Muzdalifah sambil bertalbiah. Rasulullah s.a.w diiringi oleh Al-Fadli bin Abbas. Sementara itu Usamah bin Zaid bertolak mengekori Rasulullah s.a.w secara berjalan kaki bersama rombongan Quraisy. Setelah berjalan beberapa ketika Rasulullah s.a.w memerintahkan Al-Fadli bin Abbas supaya memungut batu-batu kecil kepada Rasulullah s.a.w sebanyak tujuh biji untuk setiap Jamrah (bukan dipecahkan dari bukit dan tidak dipungut pada malam hari sebagaimana yang
dilakukan oleh jemaah Haji pada hari ini). Rasulullah s.a.w mengambil tujuh biji batu kecil lalu menggongcang di tapak tangan sambil berkata: "Lontarlah dengan menggunakan biji-biji batu seumpama ini. Berhati-hatilah, jangan kamu melampaui batas-batas ugama kerana orang-orang yang terdahulu daripada kamu telah binasa disebabkan tindakan tersebut".
5. Semasa dalam perjalanan, Rasulullah s.a.w didatangi oleh seorang perempuan cantik daripada kaum Khas'am. Perempuan itu bertanyakan mengenai Haji untuk ayahnya yang telah uzur dan tidak mampu untuk menaiki tunggangan. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya beliau menunaikan Haji untuk ayahnya. Ketika itu Al-Fadli dan perempuan tersebut saling berpandangan. Al- Fadhli juga merupakan seorang yang berambut cantik, putih dan tampan. Lalu Rasulullah s.a.w melambai-lambai Al-Fadli supaya beliau berpaling ke arah lain, agar tidak memandang kepada perempuan tadi dan perempuan tersebut juga tidak memandangnya. Al-Abbas berkata: "Aku telah palingkan pandangan anak saudaramu". Rasulullah s.a.w bersabda: "Aku telah memerhati seorang pemuda dan pemudi. Mereka berdua tidak aman daripada syaitan"
6. Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai emaknya dengan berkata: Dia (emaknya) begitu tua dan amat lemah. Sekiranya diusung dia tidak mampu untuk berpegang dan sekiranya diikat aku takut dia akan mati. Rasulullah s.a.w bersabda: "Apa pandangan kamu sekiranya emak kamu telah berhutang. Adakah kamu akan membayarnya?" Jawab lelaki tersebut: "Ya." Rasulullah s.a.w bersabda: "Maka tunaikanlah Haji untuk emak kamu"
7. Apabila sampai di Wadi Muhassir, Rasulullah s.a.w memecut untanya untuk mempercepatkan perjalanan. Begitulah kebiasaan Rasulullah s.a.wapabila tiba di tempat-tempat yang telah diturunkan bala oleh Allah Taala kepada musuhmusuhnya.
8. Rasulullah s.a.w telah mengikuti jalan pertengahan di antara dua jalan keluar iaitu melalui Jamrah Kubra, sehingga sampai ke Mina.

No comments: