Ahad 27-11-10 H 23-2-632 M
1. Setelah selesai mendirikan sembahyang Zuhur, (Rasulullah s.a.w mula untuk berihram. Rasulullah s.a.w memulakan dengan mandi kali kedua bukannya manda yang telah Rasulullah s.a.w lakukan pada hari sebelum hari tersebut. Rasulullah s.a.w membasuh kepala dengan menggunakan dua jenis tumbuhan yang biasa digunakan untuk membasuh kepala iaitu khitmi (sejenis tumbuhan berbunga) dan Usynan iaitu Potash (ia biasa digunakan untuk membuat sabun). Setelah selesai mandi Rasulullah s.a.w menyapu kepala dengan sedikit minya kemudian meratakannya dengan menggunakan kedua-dua tangan. Setelah itu Saidatina Aisyah r.a menyapu tubuh dan kepala baginda dengan wangian kasturi sehingga kesan kasturi kelihatan pada sendi-sendi baginda.
2. (Rasulullah s.a.w ditanya oleh seorang lelaki: "Apakah pakaian yang boleh dipakai oleh orang yang berihram?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Kamu tidak boleh memakai baju, serban, seluar,jubah yang mempunyai penutup kepala dan khuf (berbentuk stokin tetapi diperbuat dari kulit) kecuali selipar yang tiada penutup hadapan dan belakang."
Berniat Ihram:
1. Rasulullah s.a.w memasuki masjid Zul Hulaifah lalu mendirikan sembahyang empat rakaat kemudian berniat Ihram Haji di dalam masjid tersebut sehingga dapat didengari oleh sahabat yang berada di dalamnya lalu mereka berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah untuk Ihram Haji dari masjid dan ketika menunggang tunggangan." Manakala sahabat yang berada di tepi masjid pula berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji ketika tunggangan bersedia untuk bertolak." Ketika berada di Baida' juga baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji dan didengari oleh sahabat yang berada di Baida', lalu mereka berkata: "Baginda s.a.w. bertalbiah Ihram Haji dari Baida'. Semua kata-kata mereka adalah betul.
2. Nabi Muhammad s.a.w berlafaz niat Ihram Haji dan Umrah satu kali, berlafaz niat Ihram Umrah satu kali dan berlafaz niat Ihram Haji sahaja satu kali kerana Umrah adalah sebahagian daripadanya. Oleh sebab yang demikianlah ada yang mengatakan Baginda sa.w. mengerjakan Haji Qiran, ada yang mengataka Baginda s.a.w. mengerjakan Haji Tamattu' dan ada juga yang mengatakan Baginda sa.w. mengerjakan Haji Ifrad. Manakala pendapat yang betul ialah pada mulanya Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Ifrad. Setelah itu berihram Umrah dan memasukkannya ke dalam ibadat Haji maka jadilah: Haji Qiran.
3. Sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Ifrad maka itulah yang asalnya. Manakala sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Qiran adalah berdasarkan kepada pekerjaan terakhir Rasulullah s.a.w dan sesiapa yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan ibadat Haji secara Tamattu' ialah kerana mengambil maksud Tamattu' dari sudut bahasa yang bererti beruntung dan mendapat faedah.
No comments:
Post a Comment